Tuesday, 5 December 2017

Kebun dilanda banjir

Untuk makluman semua rakan-rakan, kawasan rumah saya memang akan bertakung air (banjir) jika hujan turun secara berterusan. Di pantai timur memang akan wajib dilanda musim tengkujuh pada penghujung dan awalan tahun. Jadi tanaman semua kelemasan di dalam air. Minggu lepas, hampir seminggu hujan turun tak berhenti dan air naik sehingga paras betis, cuma dekat kawasan kebun sahaja sebab tanah rendah. Kawasan depan rumah cuma kadang-kadang sahaja naik air bila hujan turun dengan lebat. Mungkin kerana sistem perparitan.

Pokok-pokok lada ada yang dah mati dan ada yang menunggu masa. Pokok bunga kesanyangan iaitu pokok ros, hampir semua dijangkiti penyakit balckspot dan kanker, tapi syukur masih belum ada yang mati lagi. Masih lagi bertarung dengan penyakit kanker yang boleh membunuh pokok bunga ros. Memang sayang sangat sebab harga sepokok pun dah RM23.00. Saya ada lebih 30 pokok ros. Kos semua hampir mencecah RM800.00.

Pokok bunga raya pun mengalami masalah kulat yang menyebab batang lembik. Musim-musim hujan ni memang kena bagi lebih perhatian kepada semua jenis pokok dan kena pastikan pasu dialih ke kawasan yang tinggi dan tidak ditenggelami banjir.

Satu-satunya pokok bunga dahlia sudah pupus, ubinya menjadi lembik bila air tidak kering di dalam pasu. Satu pengajaran buat saya, sepatutnya saya perlu mengeringkan ubi dahlia dan simpan dahulu di dalam peti sejuk barulah kembali tanam bila sudah habis musim tengkujuh. Tahun depan kena order semula ubi dahlia untuk ditanam.

satu-satunya yang berbunga pagi ni, pengubat jiwa yang lawa

No comments:

Post a Comment